Tuesday, July 14, 2009

10 Tips Menjadi Pasangan Bahagia Sepanjang Hayat

Setiap pasangan yang baru mendirikan rumahtangga pastinya menginginkan sebuah perkahwinan yang aman sejahtera sepanjang hayat.Namun begitu bak kata pepatah' sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri'. Memang ada kebenaran melalui kata pepatah tersebut kerana untuk mencari keserasian dalam hidup berpasangan, ia sebenarnya mengambil masa untuk mengenali 'true colour' pasangan masing-masing.

Berikut di senaraikan 10 tip mewujudkan pasangan bahagia di kalangan pasangan suami isteri:

* Saling Memaafkan Antara Satu Sama Lain
Manusia sememangnya tidak terlepas dari melakukan sebarang kesilapan. Tidak kira sama ada anda telah melakukan kesilapan yang kecil mahupun besar, perkataan maaf haruslah terungkap di bibir menandakan keinsafan untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Mungkin agak sukar mengungkapkan kata maaf, tetapi kemaafan yang terindah lahir dari ketulusan hati tatkala mengungkapkannya. Apa salahnya sesekali membuang perasaan ego untuk maaf-memaafi antara suami dan isteri. Kesabaran manusia ada tahapnya dan gunakanlah kesempatan bermaaf-maafan ini selagi ada peluang sebelum kesalan menjadi permainan hidup.


* Bertolak Ansur Mewujudkan Persefahaman
Sifat memahami dan bertolak ansur di dalam kehidupan seharian sebagai suami isteri amatlah penting untuk memupuk sebuah keluarga yang bahagia. Bertolak ansur dalam apa jua perkara amat diperlukan untuk mengelak sebarang masalah lain timbul. Ia juga mampu mewujudkan suasana harmoni di dalam rumahtangga dan interaksi dua hala amat-amat diperlukan untuk mewujudkan persefahaman yang berkekalan.


* Bersifat Terbuka Dan Berterus Terang
Sifat berterus terang amat penting di dalam sesuatu perhubungan. Begitu juga halnya dengan bersifat terbuka terhadap pasangan anda. Bayangkan sekiranya si suami mahupun isteri suka menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan pasangan secara tidak langsung ia akan merenggangkan lagi hubungan. Pastinya akan wujud perasaan curiga terhadap pasangan. Tidak semua rahsia suami atau isteri perlu didedahkan kepada pasangan terutamanya perkara masa silam pasangan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.


* Sensitif Terhadap Pasangan
Kita sering mendengar pendapat bahawa wanita adalah individu paling sensitif di dunia berbanding kaum lelaki. Kenyataan ini memang tidak boleh disangkal lagi. Itulah kelebihan kaum wanita. Oleh yang demikian, sebagai suami tidak salah sekiranya mempunyai sedikit rasa sensitif dengan keadaan emosi dan fizikal isteri. Pelajari lenggok bahasa tubuh isteri anda agar segala keputusan yang bakal anda ambil adalah rasional untuk kedua belah pihak. Sesekali biarlah bahasa tubuh atau body language memainkan peranan dari ketajaman kata-kata.


* Menghargai Pasangan Anda
Menghargai pasangan anda adalah sesuatu yang perlu diwujudkan di dalam perhubungan. Sebagai contoh suami perlu memberi pujian atas apa yang dilakukan oleh si isteri. Sebagai contoh, ucapkanlah sayang dan terima kasih buat si isteri selepas penat lelah bertarung nyawa melahirkan zuriat sebagai penyambung kasih sayang antara suami dan isteri. ada juga di kalangan suami yang sukar menzahirkan rasa terima kasih. Untuk suami seperti ini, tidak salah sekiranya anda ringankan tulang membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah pada waktu hujung minggu. Pasti si isteri menghargai pertolongan anda.


* Beri Perhatian
Kadangkala suami mahupun isteri memerlukan perhatian yang lebih dari pasangan masing-masing. Tidak kira walau sesibuk mana pun anda melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, si dia usah dilupakan. Cukuplah sekadar bertanya khabar melalui sms untuk menunjukkan kasih sayang dan sikap ambil berat yang mendalam. Isteri bukanlah mahu perhatian 24 jam, tetapi ingatan dengan kata-kata cinta menjadi penawar dukanya.


* Zuriat Penambat Cinta
Tidak dinafikan kehadiran cahaya mata antara faktor penting di dalam usaha memupuk kebahagiaan di dalam kehidupan suami isteri. Ramai yang berpendapat kehadiran si kecil ini mampu mengembalikan sinar kasih sayang di dalam sesebuah rumahtangga. Bagi pasangan yang masih belum mempunyai rezeki lagi tetapi tidak salah sekiranya terus mencuba. bagi yang telah dikurniakan cahaya mata, ingatlah bahawa anak adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai dan menjadi amanah untuk dididik supaya menjadi insan yang berguna.


* Detik Romantis Melakar Cinta
Jangan dianggap perkara ini sebagai perkara yang remeh-temeh. Mungkin ada yang berpendapat, di awal perkahwinan sungguh romantis jika berjalan berpegangan tangan dan menikmati saat berbulan madu tanpa gangguan. Tetapi apabila usia perkahwinan mencecah puluhan tahun, segalanya semakin pudar. Jangan biarkan situasi ini berlaku di dalam perhubungan anda. Wujudkan rasa cinta yang berpanjangan di antara suami isteri dengan aktiviti yang kerap dilakukan ketika bercinta antaranya makan malam romantis bersama, dan sebagainya. Ingat, rasa cinta dapat dipulihkan dengan adanya interaksi antara dua belah pihak!


* Ucapkanlah Rasa Sayang
Bagi wanita, walaupun hanya satu ungkapan atau ayat, ia sangat berharga dan rasa begitu bahagia menerimanya. Ungkapan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari mampu menambahkan lagi rasa cinta dan kasih di dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Kata-kata cinta ini mungkin mampu menjadi amalan anda untuk isteri tercinta supaya keutuhan cinta terus bertahan lama. Jika anda mampu mendalaminya, pasti anda menjadi lelaki yang paling disanjungi isteri. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin menyatakan 'I Love You'. Gunakan teknologi yang ada kini sepenuhnya. Sering menelefon atau menghantar email untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu.


* Urutan Kasih Sayang
Sentuhan mesra dari suami untuk isteri tersayang menjadi penawar buat si isteri tatkala berhadapan dengan stress sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. Kadang kala si isteri tidak memerlukan sentuhan secara berlebih-lebihan dari suami. Cukuplah sekadar sentuhan mesra di raut wajah isteri tanda si suami memahami perit jerih yang sedang dihadapinya. Peluk dan belailah isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual. Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutama daripada yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keperihatinan dan kasih sayang yang tidak ternilai kepada mereka.


* Ingat Tarikh Penting
Ini adalah merupakan perkara yang sering dipandang remeh oleh kaum lelaki tetapi begitu penting dalam diari kehidupan seorang wanita. Janngan ambil mudah perkara yang amat penting bagi wanita. Wanita cukup kuat mengingati tarikh penting contohnya hari ulang tahun hari lahir pasangan dan anak-anak, tarikh perkenalan dan ulang tahun perkahwinan. Sesekali, buatlah kejutan supaya mereka rasa lebih disayangi.






No comments:

Post a Comment